Program Bantu Membantu Jana Wang

Monday, August 18, 2008

Sambutan merdeka ke-51 dingin

Tidak meriah... Masih banyak bangunan di sekitar Kuala Lumpur yang masih belum memasang Jalur Gemilang sedangkan sambutan kemuncak Bulan Kemerdekaan kali ke-51 hanya tinggal 13 hari sahaja lagi.– Gambar ROY AZIS ABD. AZIZ

Tanggal 31 Bulan lapan 57 Hari yang mulia hari bahagia Sambut dengan jiwa yang merdeka Mari kita seluruh warganegara Ramai-ramai menyambut Hari Merdeka Merdeka!.

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Itulah antara bait-bait lagu Allahyarham Sudirman Arshad yang sering meniti di bibir-bibir seluruh rakyat Malaysia apabila tiba sahaja sambutan Bulan Kemerdekaan.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi negara kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-51.

Jika tahun lalu, kita dapat menyaksikan sambutan merdeka yang paling meriah memandangkan ia adalah ulang tahun yang ke-50 negara merdeka, namun pada tahun ini kelihatan banyak kekurangannya memandangkan baru-baru ini kerajaan mengumumkan bahawa sambutan kemerdekaan hanya akan disambut secara sederhana berikutan langkah berjimat-cermat dalam perbelanjaan negara.

Jadi tidak hairanlah pemandangan di sekitar ibu kota hambar dan lesu tanpa kibaran megah Jalur Gemilang di bangunan-bangunan mahupun di kenderaan-kenderaan warga kota.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota mendapati masih banyak lagi bangunan-bangunan serta premis-premis yang masih belum memasang Jalur Gemilang.

Entah di mana silapnya hinggakan kemeriahan sambutan kemerdekaan yang sepatutnya disambut hujung bulan ini tidak begitu dirasakan.

Rata-rata bangunan di sekitar ibu kota masih belum mengibar dan menggantungkan Jalur Gemilang di bangunan mereka.

Tidak seperti tahun lalu di mana mereka lebih ‘ghairah’ menggantung Jalur Gemilang di setiap sudut bangunan mereka sehinggakan semangat sambutan tersebut dapat dilihat jelas.

Barangkali, memandangkan tahun lalu diadakan pertandingan bangunan hiasan tercantik menyebabkan pemilik-pemilik bangunan lebih bersemangat untuk menceriakan bangunan mereka.

Namun, tahun ini sebagai langkah penjimatan, tiada lagi sebarang pertandingan menghias bangunan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang dianjurkan oleh mana-mana agensi.

Selain itu, tahun ini juga tiada lagi pemberian Jalur Gemilang secara percuma dalam kuantiti yang banyak kepada orang ramai dan pemilik-pemilik bangunan dan mereka diminta membelinya sendiri.

Mungkin disebabkan beberapa alasan tersebut menjadikan sambutan kemerdekaan pada kali ini hambar dan dingin.

Rata-rata warga kota yang ditemui menyatakan bahawa sambutan kemerdekaan kali ini kurang meriah memandangkan kurangnya kibaran Jalur Gemilang di bangunan-bangunan besar serta deretan premis.

Selain itu, Jalur Gemilang juga tidak kelihatan dipasang di kenderaan-kenderaan awam mahupun persendirian.

Seorang warga kota yang ditemui, Wong Fu Nam, 36, berpendapat keadaan ekonomi negara yang sering berubah menjadikan faktor mengapa kehangatan kemerdekaan kurang menyengat pada kali ini.

“Disebabkan harga minyak naik, orang ramai lebih berminat mencari duit sara diri berbanding menyambut Bulan Kemerdekaan.

“Bukan itu sahaja, promosi bagi Bulan Kemerdekaan pada kali ini tidak sehangat daripada tahun sebelumnya,” kata pekerja di sebuah agensi pengiklanan itu.

Seorang lagi warga kota yang ditemui, Uma Permalu, 36, mengakui bahawa sambutan pada kali ini tidak meriah seperti tahun-tahun lalu.

“Kebanyakan kereta dan premis tidak mengibarkan Jalur Gemilang

“Saya juga tidak merasakan kehangatan dan aura Bulan Kemerdekaan, tidak seperti pada tahun sebelum ini sebelum bulan Ogos lagi sudah banyak promosi serta aktiviti yang menarik untuk sambutan ulang tahun kemerdekaan negara,” katanya.

Tambahnya, pada tahun sebelumnya, promosi bagi Bulan Kemerdekaan dibuat dua atau tiga bulan lebih awal dan suasana lebih meriah pada bulan Ogos.

“Namun, pada kali ini, sehingga ke hari ini tidak banyak promosi yang diadakan bagi memeriahkan sambutan tersebut,” katanya.

“Saya berasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mempromosikan acara-acara yang akan diadakan supaya warga kota lebih maklum tentang perkara tersebut.

“Selain itu, warga kota juga perlu memberi kerjasama untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan dengan memasang Jalur Gemilang di kenderaan-kenderaan mereka,” jelasnya.

Bagi Muhammad Razi Ahmad, 28, sikap warga kota yang sering dimanjakan dengan pemberian Jalur Gemilang percuma menyebabkan mereka tidak mahu membelinya sendiri.

Menurutnya, sebagai rakyat yang bangga dengan negaranya, mereka perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk membeli bendera tersebut bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan.

“Sambutan kemerdekaan disambut sekali setahun sahaja dan tiada salahnya kita membeli Jalur Gemilang untuk diletakkan di kediaman mahupun kenderaan.

“Rasanya harganya juga tidaklah berapa mahal jika dibandingkan dengan pengorbanan pemimpin-pemimpin kita sebelum ini untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Sebagai rakyat Malaysia kita perlu berbangga dengan kemerdekaan negara yang telah mencapai tahun yang ke-51 ini,” tegasnya.

Seorang lagi pengguna, Hanim Zain, 42, berkata, warga kota tidak boleh menjadikan pelbagai alasan untuk tidak memeriahkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

“Pada pendapat saya, tiada lagi pemberian Jalur Gemilang secara percuma bukanlah alasan untuk warga kota untuk tidak meraikan hari kemerdekaan negara.

“Pada saya, sekiranya Jalur Gemilang tahun lalu masih boleh digunakan apa salahnya ia digunakan semula sekiranya tidak mahu membeli yang baru.

“Tanggal 31 Ogos adalah tarikh yang penting untuk negara, oleh itu warga kota perlulah menunjukkan rasa semangat serta rasa patriotik terhadap negara kita yang tercinta,” tegasnya.

No comments: