Program Bantu Membantu Jana Wang

Friday, October 24, 2008

Fahami sejarah negara demi perpaduan

MELAKA 23 Okt. - Masyarakat pelbagai kaum di negeri ini diminta agar terus bersatu kerana ia merupakan teras kepada tercapainya kemerdekaan dan kekuatan negara pada masa ini.

Pengerusi MIC negeri, Datuk R. Raghavan berkata, keamanan yang dikecapi hari ini perlu dipertahankan bagi memastikan negeri dan negara dapat terus dibangunkan dan bergerak maju.

Menurutnya, sebarang masalah dan kekacauan yang berlaku baru-baru ini tidak sepatutnya timbul sekiranya seluruh rakyat bertanggungjawab memelihara perpaduan dalam diri masing-masing.

''Setiap daripada kita sudah berada di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lamanya dan kita bersama-sama telah menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan sehingga kita berjaya mencapai kemerdekaan negara ke-51 pada tahun ini.

''Jadi, mengapa sekarang timbul banyak masalah dan pelbagai tuduhan diadakan pada masa ini, ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hamper makanan, duit raya kepada kira-kira 270 penghuni Rumah Kenangan Cheng sempena sambutan Deepavali di sini semalam.

Menurutnya, masalah yang ditimbulkan oleh pihak tertentu menunjukkan kumpulan berkenaan tidak memahami sejarah dan kedudukan masyarakat negara ini yang berbilang kaum serta keturunan.

''Kalau mereka ini faham sejarah negara kita dengan betul, tidak akan timbul sebarang masalah.

''MIC negeri juga tidak setuju cara kekerasan, tunjuk perasan atau demonstrasi jalanan, banyak cara boleh diadakan untuk menyelesaikan sebarang masalah, kita boleh selesaikan dengan cara kekeluargaan," katanya.

Tanpa merujuk kepada mana-mana kumpulan tertentu, beliau berkata, pihak terbabit yang menganjurkan demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan jelas tidak mempedulikan keamanan dan perpaduan kaum yang diamalkan oleh masyarakat negara ini.

''Mengapa perlu kita ikut cara yang tidak disukai oleh masyarakat.

''Ada yang kata cara mereka ini diterima dan disukai oleh sebilangan orang tetapi ini bukan cara terbaik dan bukan cara yang diterima oleh keseluruhan rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum, agama dan berbeza kebudayaan," jelasnya.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia, setiap warganya berperanan untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan masyarakat yang ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu.

''Agenda perpaduan perlu dijadikan keutamaan dan sentiasa dipelihara oleh semua masyarakat," katanya.

Ujar beliau, rakyat juga perlu ingat bahawa sebarang bentuk tindakan dan keputusan kerajaan adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara ini.

Tambahnya, semangat 'satu bangsa satu negara' perlu dipupuk dengan memantapkan kecintaan untuk mempertahankan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

No comments: