Oleh Faiza Zainudin
Pemimpin harus tunjuk teladan untuk rapatkan jurang antara kaum KUALA LUMPUR: Hubungan etnik yang rapat dan mesra antara masyarakat Islam dengan bukan Islam di Malaysia terhalang berikutan sebahagian besar masyarakat bukan Islam masih gagal memahami sejarah serta latar belakang negara. Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Prof Dr Chandra Muzaffar, berkata halangan itu wujud kerana mereka tidak mahu memahami, walaupun peruntukan perkara berkenaan seperti kedudukan agama Islam dan fungsi bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan.
" Walaupun sejarah negara boleh difahami dengan pelbagai cara, mereka tidak ikhlas (melaksanakannya), inilah masalah berlaku di Malaysia bila rakyat tidak jujur. "Bila sebut perkara berkaitan Islam, mereka takut dan menentang. Sikap ini perlu diubah untuk menjalin integrasi erat antara masyarakat pelbagai kaum," katanya ketika menyampaikan ceramah Islam dan Masa Depan Hubungan Antara Kaum di Malaysia, di sini, semalam.
Forum itu dipengerusikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan, Prof Dr Mohammad Hashim Kamali dan Pengerusi yang juga CEO Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan. Chandra yang juga tokoh akademik dan reformis berkata, jurang antara masyarakat Islam dengan bukan Islam bertambah luas apabila umat Islam sendiri termasuk pemimpin tidak menunjuk teladan. Beliau berkata, selain itu, masyarakat Islam di negara ini berpecah belah mengikut ideologi politik mereka dengan parti Umno menampilkan identiti lebih mirip kepada kemelayuan dan Pas lebih Islam daripada Melayu. Katanya, keadaan itu menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat bukan Islam, tambahan pula jika ada pemimpin tidak bersikap telus dan rasuah.
Mengenai krisis makanan dan kenaikan harga minyak yang melanda dunia hari ini, beliau berkata, perkara itu boleh dielakkan sekiranya pemimpin kembali kepada ajaran Islam dengan tidak mengamalkan unsur riba.
No comments:
Post a Comment