Program Bantu Membantu Jana Wang

Monday, June 2, 2008

Pelatih PLKN diserang virus

KOTA TINGGI 1 Jun - Seramai 59 pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Desaru Gerak Khas dekat sini dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dirawat kerana mengalami demam virus berjangkit.

Mereka yang terdiri daripada 25 lelaki dan 33 perempuan menerima rawatan di hospital itu sejak pukul 10 malam tadi.

Seorang pelatih, Mohd. Fakrullah Farrok, 18, berkata, dia mengalami panas badan sebaik sahaja pulang daripada Latihan Wira selama satu hari satu malam di hutan berhampiran kem PLKN itu.

"Kami percaya kami telah dijangkiti penyakit ini semasa membuat latihan dalam hutan. Selepas pulang daripada latihan kami mula terasa panas badan, sakit kepala, tekak, batuk, selesema dan muntah-muntah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di HKT di sini hari ini.

Para pelatih itu merupakan sebahagian daripada 405 pelatih dalam kumpulan dua siri 5/2008 di kem itu di Teluk Sari dekat sini.

Mereka menjalani latihan mulai 19 Mac lalu hingga 7 Jun ini.

Mohd. Fakrullah yang berasal dari Parit Sulong berkata, para pelatih kemudian memaklumkan kepada jurulatih mengenai keadaan mereka dan seterusnya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan mulai malam tadi.

Rakannya, Syafiq Senin, 18, dari Kampung Cheng, Melaka, berkata, pada mulanya dia bimbang dihidapi penyakit serius seperti denggi, namun pemeriksaan doktor mengesahkan ia hanya demam biasa.

"Kami bersyukur kerana ia tidak serius dan telah diberi rawatan segera. Terima kasih kepada jurulatih dan HKT," katanya.

Pelatih lain, Aidil Azmeer Sahadon, 18, memberitahu, sepanjang menjalani latihan di situ sejak dua bulan lalu belum pernah terdapat pelatih mengalami kejadian demam seperti itu.

Dia tidak menyangka masalah kesihatan itu boleh berlaku kerana persekitaran kem PLKN Desaru didapati dalam keadaan memuaskan dan bersih, malah semua pelatih berasa selamat ketika berada di situ.

"Keadaan sekitar kem memang bersih dan selesa, malah kami dijaga dengan baik," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamad Sadique yang turut melawat pelatih yang dirawat di HKT mengucapkan tahniah kepada jurulatih dan HKT yang telah membuat tindakan segera merawat pelatih yang terlibat.

"Kesemua ibu bapa pelatih sudah pun dimaklumkan dan diharap mereka tidak berasa bimbang tentang kesihatan anak-anak," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr. Robia Kosai mengesahkan kesemua 59 pelatih tersebut dimasukkan ke hospital akibat demam virus dan bukannya demam denggi.

"Pelatih-pelatih ini mengalami jangkitan demam virus biasa yang turut mengakibatkan batuk dan selesema,'' katanya.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 38 orang daripada mereka telah dibenarkan keluar dari hospital manakala bakinya dijangka keluar dari hospital itu esok

No comments: