Program Bantu Membantu Jana Wang

Saturday, May 31, 2008

Pelatih PLKN kesal keracunan makanan berulang

SETIU 30 Mei - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Peladang Setiu Agro Resort di sini yang mengalami keracunan makanan semalam, menyifatkan kejadian itu sebagai pengalaman yang menakutkan kerana ia berlaku dua kali dalam tempoh seminggu.

Salah seorang pelatih, Nurul Fatin Abdul Hapida, 18, berkata, dia tidak menyangka mengalami keracunan makanan sebanyak dua kali sejak melaporkan diri di kem berkenaan pada Mac lalu.

Dia berkata, kejadian itu merupakan satu pengalaman yang amat menakutkan ketika mengikuti program berkenaan kerana bimbang mengalami penyakit lain pula.

''Sekarang saya bimbang dengan kejadian ini yang mungkin memberi kesan sampingan dan mewujudkan masalah kesihatan lain.

''Saya rasa sangat lemah dan tidak bermaya kali ini berbanding kejadian minggu lalu," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abdul Halim Jusoh di Hospital Setiu di sini semalam.

Nurul Fatin yang berasal dari Rompin, Pahang berkata, dia telah mengambil makanan yang dihidangkan walaupun menyedari makanan itu berbau dan masam kerana lapar ketika itu.

''Nasib baik program ini tinggal seminggu lagi, jika tidak saya tak tahulah macam nak menanganinya," ujarnya

Seorang lagi pelatih, Nurul Aliah Mohd. Mat Ali, 18, memberitahu, dia sudah menjangka mengalami keracunan itu sekali lagi selepas perutnya sakit serta beberapa kali membuang air besar, sama seperti pada 22 Mei lalu.

''Saya bimbang ia berulang lagi tetapi apa yang kami harapkan pihak pengurusan kem lebih berhati-hati memilih pembekal makanan pada masa akan datang," katanya yang berasal dari Selangor.

Sebanyak 67 pelatih di kem berkenaan dikejarkan ke hospital semalam selepas dipercayai keracunan makanan setelah menikmati makan tengah hari kelmarin.

Lima hari sebelum itu lapan daripada pelatih kem tersebut juga telah dihantar ke hospital kerana kejadian yang sama.

No comments: