Program Bantu Membantu Jana Wang

Monday, April 28, 2008

Iktibar pencari kerja baru

WALAUPUN ekonomi negara rancak dan penggunaan tenaga kerja warga asing kini melampaui dua juta orang, masih agak ramai anak-anak muda lulusan menara gading tidak berkemampuan menjawat jawatan setaraf dengan kelulusan mereka.

Antara faktor utama keadaan ini berpanjangan ialah kelemahan graduan menguasai soft skills yang amat perlu untuk berjaya di alam kerjaya. Majikan mendapati mereka agak lemah dalam mengutarakan pandangan dengan bernas dan memiliki tahap komunikasi yang serba kekurangan. Kekurangan ini bukan saja terserlah semasa temu duga tetapi berlarutan ke tempat kerja baru.

Buku bertajuk Petua Mendapatkan Pekerjaan Pertama Anda yang diterbitkan oleh True Wealth Sdn. Bhd. berusaha untuk membantu golongan graduan dan pencari kerja baru memahami selok-belok proses mencari pekerjaan dengan lebih baik.

Buku setebal 158 muka surat ini ditulis oleh Omar Ariff bin Omar Farouk, seorang pengamal Sumber Manusia yang berpengalaman selama hampir dua puluh tahun menemu duga beratus-ratus calon untuk pelbagai jenis jawatan.

Bab pertama buku ini menyingkap secara sepintas lalu proses pengambilan pekerja yang umum bermula dari kekosongan jawatan sehinggalah seseorang calon yang terpilih melapor diri ke tempat pekerjaan baru.

Beberapa contoh jenis iklan jawatan kosong dikongsi bersama pembaca untuk memberikan kefahaman mengenai maksud dan tujuan syarikat-syarikat yang menyiarkan iklan-iklan berkenaan.

Di dalam bab kedua penulis mengupas mengenai cara-cara menulis resume dan surat iringan yang berkesan. Matlamat menyediakan kedua-dua dokumen hanyalah satu yakni untuk "meyakinkan seseorang majikan bahawa pemohon berkenaan adalah calon paling berkemampuan bagi mengisi kekosongan jawatan sedia ada."

Persediaan Persiapan menghadapi temu duga dibincangkan di dalam bab ketiga. Melakukan persediaan seperti mendapatkan maklumat mengenai syarikat dan jawatan, merancang perjalanan ke tempat temu duga, penampilan jasmani diri calon dan hal-hal yang perlu diketahui sewaktu mengisi borang permohonan pekerjaan dikongsi bersama.

Jenis-jenis perwatakan penemu duga yang mungkin ditemui seperti penyoal siasat, perealisasi kendiri, pemerhati dan profesional. diperjelaskan dalam bab berikutnya. Bab keempat menekankan betapa pentingnya membentuk tanggapan positif di mata penemuduga sebaik saja melangkah masuk ke bilik temu duga dan semasa temu duga berlangsung.

Bab kelima menyenaraikan sepuluh soalan yang lazim ditanya sewaktu temu duga seperti "Ceritakan pada saya mengenai diri kamu" (Tell me about yourself ). Contoh-contoh respons yang elok diberikan sebagai panduan kepada pembaca. Dimasukkan juga dengan jawapan-jawapan yang boleh menjejaskan peluang calon.

Ciri-ciri calon idaman yang dicari oleh majikan didedahkan di dalam bab keenam. Salah anggapan calon selepas temu duga seperti "Hanya calon-calon cemerlang saja akan berjaya" dikupas oleh penulis.

Beliau menceritakan juga apa yang dimaksudkan dengan keputusan temu duga, "Dalam Perhatian" atau "KIV". Pembaca diajak melakukan post mortem sekiranya tidak tersenarai sebagai calon yang berjaya dan merangka tindakan susulan.

Bab seterusnya mengupas mengenai proses yang bakal dilalui oleh calon yang ditawarkan pekerjaan. Fasal-fasal penting di dalam Surat Lantikan diperjelaskan supaya penerima benar-benar memahami erti yang dibawa oleh setiap klausa kontrak sebelum menandatangani di ruang persetujuan surat terbabit.

Diceritakan juga perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum melapor diri dan apa yang bakal dilalui semasa hari pertama di tempat kerja baru.

Bab kelapan memuatkan sketsa dwi- bahasa tiga situasi temu duga untuk tatapan pembaca. Penulis berkongsi pengalamannya mencari pekerjaan semasa kemelesetan ekonomi tahun 1980-an di dalam bab berikutnya.

Bab terakhir mengajak pembaca memikirkan tentang memilih kerjaya yang menepati cita-cita dan kehendak mereka. Buku ini diedarkan oleh MPH Bookstores pada harga RM29.90 senaskah. Penulis boleh dihubungi menerusi e-mel: omar.ariff@gmail.com.

No comments: