Program Bantu Membantu Jana Wang

Wednesday, April 23, 2008

JLKN cadang benarkan semua ibu bapa lawat kem

KLUANG 20 April - Bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bercadang membenarkan semua ibu bapa melawat pusat tersebut pada hari terbuka yang diadakan.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah proaktif itu bagi membolehkan ibu bapa melihat secara dekat kemudahan, peralatan dan modul program pusat berkenaan.

Pada masa ini, ujar beliau, hari terbuka tersebut hanya dibuka kepada ibu bapa yang anaknya sudah berada di pusat itu.

"Kami yakin dengan membenarkan semua ibu bapa dan bakal peserta melihat sendiri suasana di pusat berkenaan sebelum dipilih memasuki pusat itu, ia akan memberi keyakinan kepada calon daripada segi mental untuk menyertai program yang bertujuan untuk membentuk siasah diri mereka secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Hari Bertemu Keluarga di Kem PLKN Sembrong di sini hari ini yang turut dihadiri angkasawan negara, Mejar Dr. Mohd. Faiz Khaleed yang merupakan ikon PLKN.

Sehubungan ini, Lam Thye berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan terperinci dengan pihak pengurusan tertinggi termasuk Ketua Pengarah JLKN, Abdul Hadi Awang Kechil pada Jun ini.

Tindakan PLKN untuk mengadakan hari terbuka tersebut adalah hasil maklum balas dan sesi dialog dengan orang ramai khususnya, ibu bapa peserta terbabit yang sebelum ini menyatakan rasa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka ke institusi latihan tersebut.

"Kami yakin dengan adanya usaha ini, ia mampu memperbaiki kelemahan yang ada dan menerima pandangan daripada orang ramai.

"Kami yakin PLKN akan menjadi sebuah pusat latihan yang berdaya saing dan sentiasa relevan dalam apa juga keadaan," katanya.

Di samping itu, beliau juga menggesa para peserta supaya jujur menyatakan status kesihatan masing-masing sebelum menyertai latihan itu.

Lam Thye membuat gesaan tersebut berikutan kejadian seorang pelatih di Kemaman, Terengganu yang bersalin semasa menjalani program baru-baru ini.

"Kalau peserta hamil, mereka akan diberi penangguhan. Apa yang berlaku, peserta tidak jujur semasa mengisi borang kesihatan.

"Kita tidak mampu mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap setiap peserta. Malah, Kementerian Kesihatan pun tidak cukup tenaga untuk menguruskan perkara tersebut," katanya.

Katanya, peserta mesti jujur memberitahu mengenai status kesihatan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh latihan itu.

No comments: