Program Bantu Membantu Jana Wang

Monday, April 28, 2008

Perjelaskan kekeliruan isu PTPTN

PERTAMA, jutaan ucapan terima kasih dan syabas kepada Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di atas kesudian beliau membuka mata meneliti masalah para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Jumlah mereka bukan sedikit, malah akan bertambah pada masa hadapan, semuanya bergantung kepada PTPTN untuk meneruskan pembiayaan ke peringkat menara gading.

Memang merupakan satu tindakan yang tepat untuk menyelami permasalahan yang timbul, walaupun sedikit pada kadarnya. Walaupun, hanya tiga peratus pada kuantiti, tapi besar akibat dan kesan yang dihadapi oleh para peminjam justeru memberi imej kurang baik kepada kerajaan yang menaunginya.

Seingat-ingat penulis, Mohamed Khaled bukan orang pertama yang menabur janji manis tersebut, bahkan sebelum ini pengerusi badan itu sendiri pernah berjanji untuk merujuk perkara tersebut kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, satu tindakan yang boleh dianggap berhemah demi meleraikan syak wasangka peminjam yang kebanyakannya orang Melayu beragama Islam.

Namun, janji tinggal janji. Sebarang perkembangan atau jalan menuju ke arah itu langsung tidak kelihatan.

Beberapa kekeliruan dalam sistem pinjaman PTPTN ini mesti segera diperjelaskan. Masalah utama bukan berpunca tentang jumlah tiga peratus yang ditetapkan, tetapi yang menjadi masalah apabila ia didasarkan kepada 'baki semasa' akaun peminjam setiap tahun.

Hal inilah yang menjadi pokok permasalahan yang mana mungkin telah disalah anggap oleh sesetengah pihak sehingga menganggap sistem tersebut menjadi riba kerana jumlah tiga peratus tersebut.

Banyak pihak faham mengenai wang proses yang dimaksudkan oleh PTPTN, dan mereka maklum bahawa ia dibolehkan dalam Islam. Mana mungkin pada zaman yang serba canggih ini orang mahu memberikan perkhidmatan secara percuma. Tetapi, kerana tiga peratus didasarkan daripada jumlah baki semasa, ia menjadi sama seperti sistem yang digunakan oleh bank konvensional.

Jika PTPTN ikhlas mahu menyucikan sistem itu daripada sebarang perkara yang bertentangan dengan syarak, terangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan tentang seluruh bentuk sistem yang diguna pakai dalam akad pinjaman ini dengan sejelas-jelasnya tanpa ada sebarang keciciran maklumat.

Kita tidak mahu Majlis Fatwa pula yang akan dipersalahkan di atas sebarang kekeliruan yang bakal timbul hasil daripada kecuaian memberi maklumat lengkap tersebut. Sahutlah tawaran Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bersedia untuk membincangkan isu tersebut dalam Muzakarah yang bakal diadakan pada 5-7 Mei ini.

Elok kita rungkai segala kekusutan ini dengan cara baik dan bijaksana.

No comments: