Program Bantu Membantu Jana Wang

Saturday, May 10, 2008

Cadangan mewajibkan pemeriksaan kesihatan pelatih PLKN menelan kos tinggi

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata cadangan mewajibkan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) melakukan pemeriksaan penuh kesihatan akan menelan kos yang tinggi dan memerlukan kajian teliti. Katanya cadangan pemeriksaan kesihatan itu mungkin pilihan yang terbaik bagi mengetahui status kesihatan pelatih tetapi persoalan yang timbul adalah siapa yang akan menanggung kos berkenaan. “Siapakah yang akan menanggung kos itu.. ibu bapa? Mereka pasti akan mempersoalkannya jika kos itu dibebankan ke atas mereka. Kita kena lihat daripada segi kos dan kemampuan. Kami perlu menelitinya terlebih dulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan klinik pesakit luar pertama Pusat Perubatan Sunway di Damansara hari ni.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil mencadangkan para pelatih PLKN menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital bagi mengelakkan kes kematian mengejut semasa mengikut latihan ekoran beberapa kematian pelatih PLKN yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini. Sehingga hari ini, sebanyak 16 kematian pelatih PLKN direkodkan dengan yang terbaru adalah kematian pelatih berumur 18 tahun, Too Hui Min beberapa jam selepas mengadu sakit perut di Kem Geo Kosmo pada Rabu lalu. Pada masa ini, pelatih PLKN hanya dikehendaki mengisi borang pengisytiharan diri mengenai status kesihatan mereka.

Liow berkata kementerian tidak mempunyai rancangan mewujudkan klinik di setiap kem PLKN kerana pasukan perubatan sedia ada mencukupi.

“Terdapat dua hingga empat pembantu perubatan di setiap kem yang dilengkapi dengan perubatan, yang statusnya adalah setaraf klinik desa. Pegawai Perubatan telah mengarahkan jika timbul sebarang masalah, mereka perlu menghantar ke hospital dengan segera,” katanya. Dalam perkembangan lain, Liow yang juga Ketua Pemuda MCA, berkata Perlembagaan Persekutuan adalah rujukan terbaik terhadap sebarang pertikaian undang-undang dan hak rakyat. Sambil menyatakan perlembagaan melindungi setiap individu termasuk raja-raja dan tiada siapa yang boleh menyalahgunakan atau tidak menghormati Perlembagaan, Liow berkata : “Saya rasa merujuk kepada Perlembagaan adalah langkah terbaik kerana ia menjaga semua orang termasuk raja-raja.” Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu Pengerusi DAP Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam hal pentadbiran kerajaan negeri berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. - Bernama

No comments: