Program Bantu Membantu Jana Wang

Sunday, May 11, 2008

PLKN: Wajib periksa kesihatan?

BERA 10 Mei - Kerajaan akan mengkaji kemungkinan mewajibkan semua bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mengikuti latihan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini ketika di dalam kem.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mengkaji dari segi kos dan kaedah pelaksanaan pemeriksaan tersebut.

Pada masa ini, jelas beliau, setiap pelatih hanya disyaratkan menunjukkan surat pengakuan bertulis bagi membuktikan mereka tidak mempunyai masalah kesihatan.

''Ekoran itu, kita tidak mengetahui kesahihan pengakuan mereka itu. Oleh itu, kita sedang melihat implikasi kosnya dan bagaimana kita hendak melakukan pemeriksaan secara wajib atau sebaliknya sewaktu mengikuti latihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Hari dan Minggu Belia Negara 2008 di Felda Sebertak di sini hari ini.

Beliau mengulas kes seorang pelatih PLKN kumpulan dua Siri 5/2008 yang meninggal dunia selepas lebih tujuh jam mengadu sakit perut di Hospital Slim River, Perak kelmarin.

Too Hui Min, 18, yang menjalani latihan di Kem Geo Kosmo, Kuala Kubu Baru, Selangor dilaporkan mengalami sakit perut ringan pada pukul 3 petang setelah makan nasi ayam di lapang sasar Jugra, Banting.

Dalam kes lain Khamis lalu, seramai 90 pelatih PLKN di Kem Jiwa Murni, Semanggol, Taiping, Perak dimasukkan ke Hospital Taiping kerana dipercayai menghidap demam serius akibat jangkiti virus yang menyebabkan suhu badan meningkat.

Najib menegaskan, kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan PLKN hanya kerana timbulnya kes-kes berkenaan.

Jelas beliau, program itu telah berjalan dengan begitu terancang sejak beberapa tahun lalu.

Tambahnya, pihaknya tidak dapat mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku kerana disebabkan faktor-faktor tertentu.

''Adakalanya sesuatu itu berlaku sebab ada pelatih kita ada penyakit sebelum dia mengikuti latihan PLKN dan secara kebetulan penyakit itu semakin teruk ketika berada dalam kem," katanya.

No comments: