Program Bantu Membantu Jana Wang

Thursday, May 1, 2008

Program kendali senjata dapat sambutan

Peserta PLKN membuat latihan menembak di bawah kendalian jurulatih di majlis Latihan Pengendalian Senjata Kecil Colt M-16 di Pulada, Ulu Tiram, kelmarin.

JOHOR BAHRU 30 April - Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Teluk Sari, Endau, Mersing dekat sini mencatatkan pencapaian membanggakan apabila disertai 100 peratus pelatih kem tersebut dalam program pengendalian senjata Colt M-16.

Ketua Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pencapaian kem itu membanggakan memandangkan ia merupakan bukti keyakinan para ibu bapa terhadap modul latihan yang dijalankan.

"Bagi pengambilan sebelum ini, penyertaan modul latihan yang dijalankan hanya dapat melibatkan 96 serta 97 peratus daripada jumlah keseluruhan pelatih. Namun pada kali ini, Kem Teluk Sari berjaya mendapat penyertaan 100 peratus.

"Ini membuktikan penerimaan para ibu bapa semakin meningkat memandangkan penyertaan dalam latihan ini memerlukan kebenaran ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pengendalian Senjata Colt M-16 bagi Kumpulan 2 Siri 5/2008 PLKN di Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram di sini hari ini.

Hadir sama Komandan Kem PLKN Teluk Sari, Mejar Rosli Jasman.

Bagi pengambilan terkini itu, Kem PLKN Teluk Sari menempatkan sejumlah 405 pelatih dengan kesemua mereka mendapat kebenaran ibu bapa untuk menjalani latihan pengendalian senjata.

Menurut Abdul Hadi, berdasarkan kajian yang dilakukan, latihan pengendalian senjata itu dapat meningkatkan daya keyakinan serta tahap disiplin pelatih PLKN.

"Sebelum ini, golongan ibu bapa kurang memahami matlamat latihan pengendalian senjata namun selepas penjelasan dilakukan, mereka faham mengenai manfaatnya," kata beliau.

Jelas beliau, pihaknya memastikan program latihan selama seminggu itu dilaksanakan oleh tenaga pengajar yang berkepakaran dengan modul latihan merangkumi latihan teori di kem serta latihan praktikal di lapang sasar.

"Kami juga memastikan tahap keselamatan semasa latihan adalah pada tahap tertinggi dan penekanan turut diberikan agar mereka memahami undang-undang penggunaan senjata api," katanya.

No comments: